LAWATAN PRA-AUDIT MIDA
KAWASAN INDUSTRI JALAN KAMUNTING 4, BUKIT BERUNTUNG
Bukit Beruntung, Hulu Selangor, 28 Januari 2026 – Satu lawatan pra-audit telah diadakan di Kawasan Industri Jalan Kamunting 4, Bukit Beruntung bagi menilai tahap kerosakan infrastruktur sedia ada serta mengenal pasti jalan-jalan yang berpotensi untuk dipertimbangkan bagi tujuan permohonan peruntukan, selaras dengan kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Lawatan ini disertai oleh wakil-wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, JKR Hulu Selangor, serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS). Lawatan ini turut disertai oleh Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPHS serta wakil daripada Jabatan Perancang MPHS.
Fokus utama lawatan adalah untuk menilai keadaan fizikal jalan raya dan kemudahan sokongan di kawasan industri berkenaan, termasuk tahap kerosakan, aspek keselamatan pengguna, serta keperluan bagi kerja-kerja pembaikan atau naik taraf. Penilaian ini bertujuan memastikan cadangan permohonan peruntukan yang akan dikemukakan memenuhi keperluan teknikal serta kriteria yang telah ditetapkan oleh MIDA.
Sepanjang lawatan, sesi perbincangan dan pemeriksaan tapak telah dijalankan secara bersama antara agensi-agensi terlibat bagi menyelaraskan maklumat, mengenal pasti keutamaan kerja, serta merangka tindakan susulan yang perlu diambil.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















