PUSAT KITAR SEMULA PANDU LALU ADTREC SIDINA BEROPERASI SEPENUHNYA DI KAMPUNG ASAM KUMBANG, KUALA KUBU BHARU
KUALA KUBU BHARU, 28 Januari 2026 – Majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTREC) SIDINA telah berlangsung dengan jayanya, menandakan pembukaan rasmi pusat tersebut yang kini beroperasi sepenuhnya di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Pang Sock Tao, Adun Kuala Kubu Bharu. Turut hadir, Tuan Ahmad Nazri Ibrahim, penghulu mukim Kuala Kubu Bharu, Cik Farida binti Ramly, Penyelia Hulu Selangor, Ahli Majlis Zon 8, Pn. Thilageswary a/p Muniandi, wakil JPSPPA, Cik Nurliana Amieza, Encik Shahnor bin Shahrir, pemantau Sejati Madani dan ketua-ketua kampung.
Inisiatif ini merupakan hasil kejayaan permohonan Geran Sejati MADANI oleh JPKK Kampung Asam Kumbang. ADTREC SIDINA memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mengitar semula barangan dengan lebih mudah dan efisien, di samping membantu mengurangkan sisa, menjana pendapatan sampingan, serta memupuk budaya kelestarian dan kesedaran alam sekitar.
Taklimat mengenai tatacara menggunakan ADTREC serta aplikasi Trash4Cash telah disampaikan oleh Cik Dina Shafreena binti Mhd Shaiful Anuar, merangkumi kaedah pengasingan sisa kitar semula, jenis barangan yang diterima serta proses pencetakan kod QR, penebusan ganjaran secara digital bagi menggalakkan penyertaan berterusan dalam kalangan penduduk setempat.
Usaha ini bukan sahaja memudahkan penduduk melaksanakan tanggungjawab kepada alam sekitar, malah turut memberi impak positif dari segi kesedaran, kerjasama komuniti, dan kelestarian bumi pada jangka masa yang panjang. Diharapkan inisiatif sebegini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan sebagai langkah proaktif menuju bandar yang lebih lestari
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















