KENYATAAN MEDIA MENGENAI ISU PEMBERIAN KUNCI RUMAH (VACANT POSSESSION) OLEH PEMAJU TETAPI RUMAH BELUM SEMPURNA BEKALAN AIR DAN ELEKTRIK
6 JUN 2025, HULU SELANGOR; Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengambil maklum berkenaan isu pembeli projek perumahan Taman Ion Belian, Batang Kali yang telah menerima kunci rumah (Vacant Possession) daripada pemaju namun menghadapi masalah bekalan air dan elektrik.
Majlis hanya mengetahui berkenaan pemberian kunci rumah (Vacant Possession) ini susulan pihak Majlis menerima pertanyaan daripada pemilik yang berhasrat untuk membuat pengubahsuaian (renovation) rumah.
Hasil semakan mendapati Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi 481 unit kediaman telah dikeluarkan oleh pihak pemaju pada Januari 2025. Namun begitu, pengeluaran CCC tersebut adalah tanpa pengetahuan pihak Majlis dan tidak mendapat sokongan daripada agensi teknikal yang berkaitan. Daripada jumlah tersebut pula, 117 unit rumah kediaman telah diserahkan kunci kepada pembeli.
Pihak Majlis telah menjalankan siasatan lanjut terhadap pemaju dan perunding arkitek (Principal Submitting Person - PSP) yang terlibat. Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan Majlis juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju dan PSP yang terlibat selaras dengan perundangan yang berkuatkuasa.
Pada 5 Jun 2025, Majlis telah mengeluarkan notis kepada pemaju dan perunding arkitek di bawah Seksyen 70(23)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) agar pihak mereka menyelesaikan urusan mendapatkan pematuhan CCC dalam tempoh 30 hari. Ini termasuklah menyelesaikan isu berkaitan bekalan air dan elektrik kepada semua rumah kediaman.
MPHS menasihatkan kepada pembeli yang telah menerima kunci rumah agar menangguhkan kemasukan atau pengubahsuaian ke rumah masing-masing sehingga pemaju menyelesaikan isu pematuhan syarat-syarat CCC. Pihak Majlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang risiko yang berlaku akibat ketidakpatuhan tersebut.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Bangunan MPHS di talian 03-6064 1331 (samb.128 / 165 / 164) atau melalui emel di
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Korporat
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)
6 Jun 2025
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MPHS
Penerangan Daerah Hulu Selangor
Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Selangor