Program Adopsi Meow (Kucing) MPHS

Program Adopsi Meow (Kucing) MPHS bersama Persatuan Haiwan Malaysia Berjaya : Tujuh Kucing Temui Rumah Baharu

SUNGAI BULOH, 23 Februari 2025 – Program adopsi kucing anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) yang berlangsung selama tiga hari di KipMall Desa Coalfields, Sg Buloh telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan yang membanggakan.

Sebanyak tujuh ekor kucing berjaya menemui rumah baharunya. Program yang mendapat sokongan padu daripada pengurusan tertinggi MPHS ini telah berjaya menarik minat masyarakat setempat untuk turut serta dalam usaha murni menyelamatkan kucing-kucing terbiar. Pada hari pertama program, Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, turut hadir bagi memeriahkan acara dan menunjukkan sokongan beliau terhadap inisiatif ini. Dua ekor kucing telah berjaya diadopsi pada hari tersebut.

Sambutan hangat berterusan pada hari kedua dan ketiga program, kerana dua dan tiga ekor kucing berjaya mendapat keluarga angkat baharu. Proses adopsi dijalankan dengan teliti dan profesional untuk memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan penyayang dipilih sebagai pengadopsi.

Puan Julaihah binti Jamaludin turut melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan kejayaan program ini semasa lawatannya. Beliau turut memuji kerjasama erat antara MPHS dan MAA serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat. "Saya amat berbangga dengan kejayaan program ini. Ia membuktikan bahawa dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, kita mampu memberi impak positif terhadap kebajikan haiwan. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain di daerah Hulu Selangor pada masa akan datang," ujar Puan Julaihah.

Presiden MAA, Tuan Arie Dwi Andika, turut berkongsi pandangan yang sama. Beliau berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya mengamalkan adopsi haiwan berbanding membeli, serta memberi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk turut serta dalam usaha menyelamatkan haiwan terbiar. "Kami berterima kasih kepada MPHS atas peluang yang diberikan untuk bekerjasama dalam program ini. Kami berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpama ini pada masa hadapan," kata Tuan Arie.

Program adopsi kucing ini bukan sahaja berjaya memberi rumah baharu kepada kucing-kucing terbiar, malah turut menjadi platform untuk mendidik masyarakat tentang tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama dan keprihatinan, kita mampu mewujudkan komuniti yang lebih penyayang dan bertanggungjawab terhadap haiwan.

#DaripadaAndaUntukAnda

#MajuPerkasaHasilSemua

#HuluSelangorBandarRendahKarbon

#AllahPeliharakanlahHuluSelangor

#MPHSGo

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2025 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my

  • Kemaskini Terkini : Khamis 13 Mac 2025, 04:59:24.
Jumlah Pelawat :
00956421