KUTIPAN SAMPAH PUKAL DI PERUMAHAN STRATA DAERAH HULU SELANGOR
HULU SELANGOR, 1 MAC 2025 : Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Pembersihan Awam (JPSPPA) telah memulakan kutipan sampah pukal di semua unit strata di dalam daerah Hulu Selangor pada 1 Mac 2025. Pihak KDEB Waste Management selaku kontraktor lantikan akan melakukan kutipan sampah pukal strata ini mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pihak MPHS.
Selaras dengan kenaikan cukai, pihak MPHS akan membantu menguruskan tanggungjawab ini. Dengan adanya kutipan sampah pukal ini, akan memberikan keselesaan dan dapat mendorong penghuni untuk lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sampah mereka. Selain itu, ia juga memberi peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan pengurusan sisa dengan lebih baik. Kebersihan yang lebih baik akan menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih tinggi bagi penghuni di kawasan berstrata, persekitaran yang lebih selesa dan sihat.
Harapan utama MPHS adalah agar semua pihak, termasuk penghuni dan pengurusan, dapat bekerjasama untuk memastikan perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, seterusnya mencipta komuniti yang lebih mesra alam, teratur serta memastikan kebersihan kawasan terjaga dan membolehkan pengurusan sampah diuruskan dengan lebih efisien. Orang awam boleh membuat aduan secara rasmi di laman aplikasi *'iClean'* melalui Google Play Store dan Apple App Store.