Majlis Perasmian 10th Selangor International Business Summit (SIBS) 2026
Kuala Lumpur, 14 Oktober 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, berkenan merasmikan Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 dan Selangor ASEAN Business Conference (SABC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, YB Tuan Lau Weng San, Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Haniff bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor serta YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor. Turut hadir pada majlis tersebut YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha merangkap Timbalan Yang Dipertua MPHS.
Berlangsung selama empat hari, dari 14 hingga 17 Oktober 2026, SIBS 2026 pada kali ini dengan tema “Selangor: The Gateway to ASEAN’s Youth and Future” yang menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemain industri, pelabur, usahawan dan pemegang taruh bagi memperkukuh jaringan perdagangan, memperluas kerjasama perniagaan serta meneroka peluang pertumbuhan ekonomi serantau dan antarabangsa.
Bersempena SIBS 2026, MPHS turut menyertai reruai pameran di dua komponen utama iaitu Selangor Investment & Industrial Park Expo (SPARK) dan Selangor AI & Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor).
Penyertaan ini menjadi platform strategik bagi MPHS untuk mengetengahkan potensi pelaburan, pembangunan kawasan perindustrian, inisiatif bandar pintar serta peluang pembangunan berteknologi tinggi di Hulu Selangor, di samping memperkukuh jaringan kerjasama dengan pemain industri dan pelabur.
Melalui penyertaan ini, MPHS terus komited dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi Negeri Selangor serta memperkukuh kedudukan Hulu Selangor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, progresif dan mampan. Orang ramai, khususnya pemain industri dan pelabur, dijemput mengunjungi reruai pameran MPHS di Hall 1 (SPARK) dan Hall 4 (AiSEM@SELANGOR) sepanjang penganjuran SIBS 2026 dari 14 hingga 17 Oktober 2026 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai potensi pelaburan, pembangunan strategik dan inisiatif bandar pintar di Hulu Selangor.
















