MPHS JAYAKAN PROGRAM KOZEDES MENERUSI JELAJAH KOMUNITI STRATA 2.0 & SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-5 DENGAN KERJASAMA PKDHS DI PANGSAPURI SRI BAKAWALI
BUKIT SENTOSA, 4 OKTOBER 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) terus komited melangkah seiring agenda pembangunan mampan menerusi penganjuran Program KOZEDES “Perkasa Komuniti Perangi Aedes”. Program yang berlangsung di Pangsapuri Sri Bakawali, Bukit Sentosa ini diadakan sempena Jelajah Komuniti Strata 2.0 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Perbandaran MPHS. Tumpuan khas diberikan di lokasi ini memandangkan ia merupakan kawasan hotspot yang telah mencatatkan lebih 30 kes denggi setakat ini.
Program ini merupakan hasil usaha sama Ahli Majlis Zon 18, Tn. Faridul Amini bin Suhaimi bersama Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPHS yang dipimpin oleh Pn. Nurul Asshima binti Aminullah, serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS di bawah pimpinan En. Mohd Shahril bin Ramli. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha MPHS, Pn. Dewi Dirwana binti Munasir dengan gimik perasmian iaitu penyerahan bekas KOZEDES kepada Pengerusi JMB dan Pengerusi KRT. Turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua MPHS, YBrs. Pn. Julaihah binti Jamaludin, barisan Pengarah Jabatan MPHS, Ahli Majlis Zon 19, Tn. Fuad bin Ahmad Naravi, beberapa wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dari sekitar Hulu Selangor, serta kerjasama rapat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS), JMB Pangsapuri Sri Bakawali, KRT COMBI dan Persatuan Penduduk.
Bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam mengenai ancaman denggi, Dr. Zafrin bin Jamaludin selaku Ketua Unit Vektor PKDHS telah menyampaikan taklimat khusus berkaitan pencegahan wabak ini. Selain itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran JPSPPA, En. Mohammad Alauddin bin Mustafa turut memberikan penerangan terperinci mengenai fungsi dan cara penggunaan bekas KOZEDES. Pelbagai aktiviti berimpak tinggi dijalankan sepanjang program, antaranya pemeriksaan premis individu bagi membasmi jentik-jentik, pemasangan bekas KOZEDES di setiap blok perumahan, agihan ubat Abate secara percuma, serta serahan semburan nyamuk khas daripada JPSPPA MPHS secara percuma kepada 150 orang penduduk terawal yang hadir.
Pelbagai reruai pameran interaktif turut dibuka bagi memberikan perkhidmatan mesra masyarakat secara terus. Pihak JPSPPA MPHS membuka reruai pengumpulan e-waste yang berjaya mengumpul sebanyak 17 unit (20.65 kg) sisa elektronik, di samping menjayakan kempen 'Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali Guna', manakala Bahagian COB mengadakan pameran pengurusan strata dan PKDHS menyediakan pameran kesihatan. Bagi memeriahkan suasana, acara diserikan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan mencari jentik-jentik, cabutan bertuah, serta Sesi Kuiz Denggi yang dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, En. Muhamad Ismail bin Gulam Rasul bersama Pn. Nurain Fasehah dari JPSPPA MPHS, dengan kesemua hadiah ditaja khas oleh Ahli Majlis Tn. Faridul Amini dan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPHS.
Penganjuran program teras ini secara langsung mendokong pelbagai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDG) oleh PBB. Antaranya ialah SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan menerusi langkah pembasmian tempat pembiakan Aedes demi keselamatan penduduk, serta SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan melalui pemerkasaan pengurusan kawasan perumahan strata. Di samping itu, inisiatif pengumpulan e-waste dan kempen pengurangan plastik sekali guna menyokong SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, manakala penglibatan pelbagai agensi serta sumbangan penajaan pelbagai pihak membuktikan kejayaan penerapan SDG 17: Rakan Kerjasama Demi Matlamat.
















