MPHS PERKUKUH KESELAMATAN PENDUDUK MELALUI PROJEK PENSTABILAN CERUN PANGSAPURI KENANGA BERNILAI RM2.9 JUTA
BUKIT BERUNTUNG, 22 NOVEMBER 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) membelanjakan sebanyak RM 2.9 juta bagi kerja-kerja penstabilan cerun di Tebing Pangsapuri Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung. Projek ini dijalankan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 22 April 2025 di kawasan pangsapuri tersebut melibatkan kegagalan cerun dengan ketinggian kira-kira 14 meter dan kelebaran sekitar 40 meter.
Kejayaan projek ini diraikan di dalam satu Majlis Penyerahan Siap Projek Cerun Pangsapuri Kenanga oleh IKRAM Engineering Services Sdn. Bhd. kepada pihak MPHS yang dirasmikan oleh YBrs. Tuan Saifuddin bin Shafi Muhammad, Penyelaras DUN Batang Kali pada 22 November 2026.
Turut hadir di dalam majlis penyerahan tersebut YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin. Yang Dipertua MPHS ; YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Mohd. Taufik bin Haron, Ketua Pegawai Eksekutif IKRAM Engineering Services Sdn. Bhd; barisan Ahli Majlis, pegawai-pegawai kanan dan wakil jabatan MPHS, wakil agensi teknikal, pihak pengurusan Pangsapuri Kenanga serta penduduk setempat.
Projek ini dilaksanakan menerusi kaedah kontrak Reka dan Bina (Design and Build) dengan pelantikan IKRAM Engineering Services Sdn. Bhd. sebagai kontraktor pelaksana yang berjaya disiapkan dalam tempoh 10 bulan bermula pada 4 September 2025 sehingga 4 Julai 2026.
Antara skop utama kerja-kerja penstabilan yang dilaksanakan termasuk pembentukan semula cerun (Slope Benching), pembinaan Rock Toe, kerja penambakan tanah dan pemasangan Geogrid, pembinaan sistem saliran bawah tanah (Subsoil Drain), sistem saliran permukaan, pemasangan Gabion Mattress serta kerja-kerja Hydroseeding bagi perlindungan permukaan cerun. Kerja-kerja pembaikan jalan dan pemulihan kawasan terlibat turut dilaksanakan.
Keseluruhan komponen kejuruteraan ini dirancang bagi meningkatkan kestabilan cerun, mengawal aliran air permukaan serta mengurangkan risiko hakisan dan ketepuan tanah yang boleh menjejaskan kestabilan kawasan berkenaan.
















