KUALA KUBU BHARU, 14 September 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi bulan September 2026 bertemakan Hari Malaysia, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”. Perhimpunan yang dihoskan bersama oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) serta Bahagian Perundangan telah diadakan di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu.
Dalam ucapan beliau, Encik Shaiful Rezza bin Hj Piamin, Pengarah Jabatan Perbendaharaan merangkap Penolong Setiausaha, Majlis Perbandaran Hulu Selangor, menyeru seluruh warga kerja MPHS agar menghayati semangat Hari Malaysia yang menekankan nilai perpaduan, kebersamaan dan tanggungjawab dalam membina masa depan yang lebih baik.
Perhimpunan kali ini turut menyaksikan Penyampaian Cek Dermasiswa Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) daripada ANULAE Cawangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Penyampaian dermasiswa ini merupakan salah satu bentuk sokongan dan keprihatinan dalam membantu serta memberikan galakan kepada para pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.
Dalam perkembangan lain, penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh warga kerja MPHS yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan penganjuran acara bola sepak Wanita sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Hulu Selangor.
Perhimpunan turut meraikan kejayaan kontinjen MPHS dalam Karnival Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) yang berlangsung di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 9 Ogos 2026. Pasukan Tekken 8 MPHS telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai juara, sekali gus menjadi kejuaraan pertama MPHS dalam Karnival Sukan MALA.
Sempena Hari Malaysia, seluruh warga kerja MPHS turut diajak untuk terus memperkukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam. Kepelbagaian latar belakang, budaya, bahasa dan cara hidup perlu dilihat sebagai kekuatan dalam membentuk sebuah masyarakat yang saling menghormati, bertoleransi dan prihatin.
Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026!
Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.
















