SESI DIALOG BERSAMA PENDUDUK PEKAN RASA
BERKAITAN ISU BAU BUSUK DAN PENCEMARAN UDARA
RASA, 17 Januari 2026 – Yang Berhormat (YB) Pang Sock Tao, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan satu sesi dialog bersama penduduk bagi membincangkan isu pencemaran bau dan udara yang menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar Pekan Rasa.
Sesi dialog ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua MPHS, YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin; Penyelaras Parlimen Kawasan Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash A/L Nadarajan; wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor serta pemilik syarikat industri yang beroperasi di sekitar kawasan Rasa.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk kebimbangan penduduk terhadap kualiti udara dan pencemaran bau yang memberi kesan kepada kesihatan serta persekitaran. Selain itu, tanggungjawab pemilik syarikat industri untuk mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh MPHS dan JAS turut ditekankan. Isu kenderaan berat yang diletakkan di zon perumahan serta penurunan hasil pertanian di kawasan berhampiran zon industri juga telah dibangkitkan oleh penduduk.
Dalam sesi tersebut, Yang Dipertua MPHS turut meminta pihak JAS untuk mengkaji kesesuaian penambahan jenis aktiviti industri di Kawasan Perindustrian Zurah, Rasa, secara bersama dengan MPHS bagi memastikan kawalan yang lebih berkesan serta mengurangkan risiko pencemaran pada masa hadapan.
Dalam ucapannya, YB Pang Sock Tao menggesa pihak syarikat industri supaya menaik taraf serta memantau secara berterusan peralatan kawalan pencemaran di premis masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi melalui sektor industri perlu dilaksanakan secara seimbang dan selari dengan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan rakyat, serta menyeru agar semua pihak memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kawasan Rasa bebas daripada sebarang bentuk pencemaran.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















