SESI LAWATAN JABATAN LANDSKAP MPHS KE IWK RESEARCH CENTRE
Kuala Lumpur, 20 Julai 2026- Seramai 16 orang kakitangan Jabatan Landskap, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan lawatan ke IWK Research Centre bagi melihat dengan lebih dekat proses penghasilan baja organik berasaskan biosolid serta teknologi yang digunakan.
Lawatan ini menjadi platform bagi membincangkan peluang jalinan kerjasama strategik antara IWK dan MPHS, sebagaimana kerjasama yang telah dilaksanakan oleh IWK bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.
Para peserta turut didedahkan kepada proses pengendalian bahan mentah, penghasilan produk akhir serta penggunaan mesin dan peralatan dalam proses pengeluaran baja.
Sebanyak tiga sesi pembentangan telah disampaikan oleh pegawai Indah Water Konsortium (IWK), iaitu Ts. Alijah Mohd Aris, Siti Nur Aida dan Muhammad Hafizuddin Sulaiman.
Pihak IWK turut menyumbangkan produk baja dan plant booster keluaran mereka untuk tujuan uji cuba di kawasan Hulu Selangor. MPHS akan menjalankan penilaian terhadap keberkesanan produk tersebut dalam tempoh tiga (3) bulan dan memberikan maklum balas kepada pihak IWK bagi tujuan penambahbaikan produk.
Sekiranya hasil uji cuba menunjukkan keberkesanan dan kesesuaian yang baik, produk tersebut berpotensi untuk digunakan dalam kerja-kerja penanaman dan penyelenggaraan pokok serta landskap di kawasan Hulu Selangor.
Kerjasama ini diharapkan dapat membuka ruang kepada penerapan pendekatan ekonomi kitaran (circular economy) serta penggunaan sumber yang lebih mampan, inovatif dan mesra alam dalam pengurusan landskap di Hulu Selangor.
















