BENGKEL SEMAKAN SEPARUH PENGGAL BAJET 2026 DAN PENYEDIAAN BAJET 2027 MPHS
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan Bengkel Semakan Separuh Penggal Bajet 2026 dan Bengkel Penyediaan Bajet 2027 selama empat hari, bermula pada 21 Julai 2026 hingga 24 Julai 2026.
Bengkel ini diketuai oleh Yang Dipertua MPHS, YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, diikuti oleh Setiausaha MPHS, YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, bersama ketua-ketua jabatan MPHS.
Pelaksanaan bengkel ini memberi tumpuan kepada dua agenda utama, iaitu menilai prestasi pelaksanaan Bajet MPHS 2026 bagi tempoh separuh penggal serta merangka hala tuju dan keutamaan bagi penyediaan Bajet MPHS 2027.
Melalui sesi pembentangan dan perbincangan, setiap jabatan meneliti prestasi kutipan hasil, kedudukan perbelanjaan, kemajuan program serta projek yang telah dirancang. Cabaran dan isu berkaitan pelaksanaan bajet turut dikenal pasti bagi membolehkan tindakan penambahbaikan serta penyelarasan dibuat dengan lebih berkesan.
Bagi penyediaan Bajet 2027 pula, pelbagai cadangan dan keperluan telah dibincangkan dengan mengambil kira kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan, peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan serta penggunaan sumber kewangan secara cekap, berhemah dan strategik.
Bengkel ini turut menjadi platform penting untuk memastikan setiap perancangan kewangan MPHS dirangka secara lebih teliti, realistik dan berimpak tinggi, selaras dengan Pelan Strategik MPHS serta aspirasi pembangunan Negeri Selangor.
MPHS komited untuk terus memperkukuh tadbir urus kewangan dan meningkatkan mutu perkhidmatan demi pembangunan mampan serta kesejahteraan seluruh komuniti Hulu Selangor.
Daripada Anda Untuk Anda
















