Komuniti Hulu Selangor dirai dalam Majlis Apresiasi Lestari Hulu Selangor 2026
RAWANG, 03 Mac 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berjaya menganjurkan Majlis Apresiasi Lestari Hulu Selangor 2026 sebagai tanda penghargaan kepada komuniti, agensi, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik yang komited dalam menjayakan agenda pembangunan mampan di daerah Hulu Selangor.
Majlis yang berlangsung di Setia Templer's Ballroom @ Setia Eco Templer, Rawang ini telah menghimpunkan seramai 147 orang peserta terdiri daripada pemimpin komuniti, jabatan kerajaan, agensi teknikal, institusi pendidikan serta wakil sektor swasta yang bersama-sama menyokong pelaksanaan inisiatif kelestarian selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS. Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Y.A.D Raja Dato' Muzaffar bin Raja Redzwa, Dato' Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Dato’ Kelvin Lai Tak Kuan, Pengerusi Bersama IPMC Hulu Selangor; Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha MPHS, TPr Gs Azlina Mokhtar, Pengarah Perancang MPHS serta Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan dan Bahagian MPHS.
Majlis turut diserikan dengan sesi pembentangan khas daripada tiga (3) agensi iaitu Gas Malaysia Berhad, Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dan PEMADAM Kebangsaan yang berkongsi amalan terbaik serta inisiatif semasa dalam memperkasa kelestarian bandar. Selain itu, pameran khas daripada penyertaan Anugerah SK1IL 2025 turut diadakan bagi mempamerkan projek dan inovasi komuniti yang berimpak tinggi.
Majlis ini diadakan sebagai platform penghargaan kepada komuniti, agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri serta rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan pelbagai inisiatif kelestarian di daerah Hulu Selangor.
Antara penghargaan yang telah disampaikan ialah:
- Penghargaan Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian (IPMC);
- Penghargaan sebagai Partners bagi Penglibatan di dalam Program Bandar Rendah Karbon Tahun 2025;
- Penghargaan sebagai Stakeholders Zon Bandar Rendah Karbon Kawasan Institusi Pendidikan Milenium Kuala Kubu Bharu Tahun 2025.
- Penghargaan Juri Khas Anugerah Satu Komuniti 1 Inisiatif Lestari 2025
Majlis turut menyempurnakan penyampaian beberapa anugerah utama, iaitu:
- Anugerah Satu Komuniti 1 Inisiatif Lestari 2025 (SK1IL);
- Pertandingan Tandas Bersih, Menawan dan Wangi;
- Pertandingan Premis Makanan Bersih Bersih.
Yang Dipertua MPHS dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan agenda kelestarian memerlukan komitmen berterusan dan penglibatan aktif semua pihak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga komuniti Hulu Selangor atas sokongan padu terhadap pelaksanaan program-program hijau dan inisiatif mampan di peringkat tempatan.
Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan MPHS dalam memperkukuh kolaborasi strategik serta menggalakkan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dalam menjayakan inisiatif Bandar Rendah Karbon dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) demi kesejahteraan dan kemakmuran Hulu Selangor.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















