Korporat Turun Padang: Kepimpinan Tertinggi Proton sertai Program Jom Plogging, Sumbang Dron Pemantauan kepada MPHS

KORPORAT TURUN PADANG: KEPIMPINAN TERTINGGI PROTON SERTAI PROGRAM JOM PLOGGING, SUMBANG DRON PEMANTAUAN KEPADA MPHS

AMPANG PECAH, 4 Julai 2026 – Program Jom Plogging di Alor Lempah anjuran bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), JPSPPA, Kolej Komuniti Hulu Selangor dan PROTON Holdings Berhad, telah berjaya mengumpul sebanyak 90.60 kilogram sisa di sekitar Sungai Alor Lempah, salah satu kawasan rekreasi tumpuan di daerah Hulu Selangor.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam melaporkan kegiatan pembuangan sampah haram di dalam daerah Hulu Selangor, di samping merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PROTON atas komitmen berterusan syarikat itu terhadap agenda kelestarian alam sekitar di daerah ini.

Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi PROTON pada program ini jelas membuktikan keseriusan syarikat automotif nasional itu dalam memikul tanggungjawab sosial korporat (CSR) melangkaui sempadan kilangnya di Tanjung Malim. Hadir mewakili PROTON ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings, Dato' Ir. Abdul Rashid bin Musa, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Dr. Kasuma Satria bin Mat Jadi, dan Ketua Keselamatan dan Pentadbiran, Encik Nor Masdi bin Mohd Lasim iaitu satu petanda bahawa kelestarian komuniti setempat kini menjadi sebahagian daripada agenda korporat teras PROTON. Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Hulu Selangor, Puan Siti Norihan binti Mohammad, Ahli Majlis Zon 9, Puan Saripah binti Bakar, serta wakil daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ampang Pecah.

Kemuncak komitmen tersebut diserlahkan melalui penyerahan sumbangan satu unit dron kepada MPHS sebagai sebahagian daripada inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat. Sumbangan strategik ini bakal memperkasakan keupayaan pemantauan MPHS, khususnya dalam pengesanan awal lokasi pembuangan sampah haram di kawasan terpencil dan sukar diakses, pemantauan berkala kawasan sensitif alam sekitar seperti rizab sungai dan kawasan rekreasi dan pengumpulan bukti bagi tujuan penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sumbangan ini bukan sekadar peralatan, malah mencerminkan pendekatan CSR PROTON yang berimpak tinggi dan mampan. Ia sekali gus mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala antara PROTON dan MPHS sebagai model kolaborasi sektor korporat–kerajaan tempatan yang boleh dicontohi.

Diharapkan inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjadi lebih proaktif dalam memelihara kebersihan kawasan, di samping menggalakkan lebih banyak syarikat korporat mengikut jejak langkah PROTON dalam menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, seterusnya memupuk rasa tanggungjawab bersama ke arah Hulu Selangor yang bersih, mampan dan sejahtera.


PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 10 Julai 2026, 09:50:16.
Jumlah Pelawat :
01297167

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015