LAWATAN PENANDA ARAS JABATAN BANGUNAN, MPHS KE MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA (MPAJ)
Ampang, 29 September 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan satu Lawatan Penanda Aras ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan program pemutihan tambahan dan ubahsuai rumah kediaman sedia ada dan tatacara pengurusan projek pembangunan khususnya penyediaan perjanjian dokumen kontrak bagi projek di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Delegasi MPHS diketuai oleh Pengarah Jabatan Bangunan, MPHS, En. Md Rizal bin Mohd Sofian @ Abd Karim, P.J.K., bersama-sama kakitangan Jabatan Bangunan, wakil Jabatan Kejuruteraan serta Bahagian Perundangan MPHS.
Delegasi MPHS telah disambut oleh En. Yazid bin Omar, Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina, MPAJ, bersama-sama pegawai dan kakitangan Jabatan Bangunan dan Senibina serta wakil Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Perancang Bandar MPAJ.
Sesi taklimat dimulakan dengan Pengurusan projek pembangunan di bawah Jabatan Bangunan dan senibina MPAJ dan tatacara penyediaan dokumen perjanjian kontrak. Taklimat tersebut turut disampaikan oleh En. Yazid bin Omar, Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ dengan kerjasama pegawai daripada Jabatan Undang-Undang MPAJ dan Bahagian Ukur Bahan MPAJ. Perkongsian tersebut merangkumi penerangan mengenai prosedur dan tatacara penyediaan dokumen perjanjian kontrak, termasuk perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam penyediaan dokumen perjanjian bagi sesuatu projek. Perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan amat berguna kepada delegasi MPHS, khususnya dalam membantu Jabatan Bangunan dan Bahagian Perundangan MPHS menambah baik tatacara penyediaan dokumen perjanjian kontrak bagi cadangan pembangunan atau pembinaan bangunan di bawah seliaan MPHS pada masa akan datang.
Seterusnya sesi taklimat diteruskan dengan Program Pemutihan Tambahan dan Ubah Suai Rumah Kediaman Sedia Ada yang disampaikan oleh En. Yazid bin Omar, Pengarah Jabatan Bangunan dan Senibina MPAJ. Program pemutihan yang dilaksanakan oleh MPAJ merupakan salah satu inisiatif bagi memastikan rumah kediaman yang telah dibina di tapak tanpa kelulusan PBT boleh diputihkan sekiranya pemilik bangunan kediaman mengemukakan permohonan seperti di tapak dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Pelaksanaan program ini bermula tahun 2021sehingga 2023 dapat membantu aspek kawalan pembangunan dan seterusnya meningkatkan hasil jabatan melalui kutipan fi berkaitan serta memastikan pembangunan bangunan kediaman di kawasan pentadbiran PBT dilaksanakan secara lebih teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Seterusnya, Perkongsian yang diberikan turut memberi pendedahan kepada delegasi MPHS berhubung kaedah pelaksanaan, mekanisme permohonan serta pendekatan yang digunakan oleh MPAJ dalam menggalakkan pemilik rumah mengemukakan permohonan bagi binaan sedia ada yang belum mendapat kelulusan.
Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini telah memberikan peluang kepada delegasi MPHS untuk mendapatkan pendedahan secara langsung terhadap pendekatan dan amalan yang dilaksanakan oleh MPAJ, khususnya berkaitan program pemutihan rumah kediaman sedia ada serta penyediaan perjanjian kontrak.
Diharapkan hasil perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pihak MPAJ ini dapat dimanfaatkan oleh Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Bahagian Perundangan MPHS dalam usaha menambah baik proses kerja serta tatacara pelaksanaan sedia ada.
















