PROGRAM PERTANDINGAN MENEMBAK JAWATANKUASA PENDUKUNG ASKAR WATANIAH (JAKPAW) NEGERI SELANGOR DAN MAJLIS PENUTUP KURSUS ASAS PERAJURIT MUDA SUKARELA SIRI KHAS TAHUN 2026
KUALA LANGAT 5 JULAI 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menyertai Program Pertandingan Menembak Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Selangor dan Majlis Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri Khas Tahun 2026 yang berlangsung di Lapang Sasar Batu Hampar, Jugra, Selangor.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Mejar Jeneral Haji Mohd Shauari bin Haji Mat Piah, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia. Turut hadir ialah Yang Berhormat Datuk Dr Haniff bin Zainal Abidin, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Puan Julaihah Jamaludin yang juga Mejar Kehormat, bersama barisan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia, pegawai-pegawai daerah, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil agensi-agensi kerajaan.
Bagi Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri Khas Tahun 2026, MPHS telah menghantar seramai empat (4) orang anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan bagi mengikuti kursus tersebut sebagai usaha memperkukuh disiplin, kepimpinan, semangat patriotisme serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi sebarang situasi yang memerlukan kerjasama antara agensi.
MPHS turut mencatatkan kejayaan membanggakan apabila salah seorang anggotanya, En. Muhammad Azrul Nizam bin Mohd Azizi daripada Jabatan Penguatkuasaan, telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri Khas Tahun 2026.
Selain itu, kontinjen MPHS turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam Pertandingan Menembak JAKPAW Negeri Selangor Tahun 2026 apabila berjaya meraih Tempat Ketiga bagi Kategori Menembak Jatuh Piring (Berkumpulan) serta Tempat Ketiga bagi Kategori Menembak Sasaran (Kumpulan).
Tahniah diucapkan kepada seluruh kontinjen MPHS, khususnya Jabatan Penguatkuasaan, atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi pemangkin untuk terus melahirkan warga kerja yang berdisiplin, berintegriti, berdaya saing serta sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
















