Projek Mural Menceriakan Tembok Dinding KTM di Pekan Batang Kali

PROGRAM CSR BERSAMA PELAJAR TAHUN AKHIR IJAZAH SARJANA MUDA SENIBINA LANDSKAP UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM)
"PROJEK MURAL MENCERIAKAN TEMBOK DINDING KTM DI PEKAN BATANG KALI"

Batang Kali | 1 – 3 Julai 2026

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerusi Projek Mural Menceriakan Tembok Dinding KTM di Pekan Batang Kali yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 1 hingga 3 Julai 2026.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 23 orang pelajar yang diketuai oleh Assoc. Prof. Dr. Zainul Mukrim bin Haji Baharuddin, pensyarah dalam bidang Senibina Landskap. Turut bersama menjayakan program ini ialah Ahli Majlis MPHS, En. Law Say Hin dan En. Chinniah A/L Subramaniam, serta kakitangan Jabatan Landskap MPHS yang berganding bahu menghasilkan mural bertemakan sejarah Pekan Batang Kali.

Mural yang dihasilkan bukan sekadar memperindah tembok dinding di kawasan KTM Batang Kali, malah berperanan sebagai medium untuk mengetengahkan sejarah, warisan dan identiti Pekan Batang Kali kepada masyarakat. Inisiatif ini diharap dapat mewujudkan ruang awam yang lebih menarik, berinformasi serta mempunyai nilai seni yang tinggi.

Lebih bermakna, Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, turut hadir meninjau pelaksanaan program dan meluangkan masa menyertai aktiviti mewarna mural bersama para pelajar. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen MPHS dalam menyokong pembangunan bakat generasi muda, memperkukuh hubungan strategik bersama institusi pengajian tinggi serta menggalakkan pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memupuk semangat kesukarelawanan, mengembangkan kreativiti golongan muda serta memperkaya landskap bandar melalui penghasilan karya seni yang mempunyai nilai sejarah dan budaya.

Program ini juga selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals - SDGs), khususnya SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, melalui usaha memperindah ruang awam serta memelihara dan mempromosikan identiti serta warisan sejarah Pekan Batang Kali. Di samping itu, program ini turut menyokong SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat menerusi kerjasama erat antara MPHS dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selain menyumbang kepada SDG 4: Pendidikan Berkualiti dengan menyediakan pengalaman pembelajaran berasaskan amali kepada para pelajar dalam persekitaran sebenar.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas komitmen, kerjasama serta sumbangan idea dan tenaga dalam menjayakan program ini. Semoga jalinan kerjasama strategik yang terjalin akan terus diperkukuh pada masa hadapan bagi melahirkan lebih banyak inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat serta menyokong pembangunan bandar yang mampan di Hulu Selangor.


PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 10 Julai 2026, 09:50:16.
Jumlah Pelawat :
01297167

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015