‘PLAY DAY’ World Landscape Architecture Month 2026
Taman Awam Jenjarum, Bukit Beruntung
11 April 2026
Sempena sambutan Bulan Senibina Landskap Dunia 2026, Majlis Perbandaran Hulu Selangor telah menganjurkan program santai ‘PLAY DAY’ yang berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana riang, aktif dan penuh kemesraan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan masyarakat, antaranya Liga Bolasepak anjuran Black Eagle, senamrobik serta sukaneka yang merangkumi aktiviti seperti tengteng, horizontal ladder, jump trench, long hop, body curl, cure stretch, boling kelapa dan ‘shoot out’ bola jaring.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS yang telah melakukan sepakan penalti sebagai simbolik perasmian program ‘PLAY DAY’. Turut hadir bersama ialah barisan pengarah dan wakil jabatan, persatuan penduduk serta Ahli Majlis.
Lebih menarik pada program ini, aktiviti rewang sempena sambutan Hari Raya hasil kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Apartment Seri Seroja. Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai juadah tradisional secara percuma seperti lemang, rendang ayam, nasi impit, kuah kacang dan bihun sup, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan serta semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Dianggarkan lebih 500 orang termasuk penyertaan pasukan-pasukan bolasepak telah hadir memeriahkan Taman Awam Jenjarum sepanjang program berlangsung, menjadikannya antara acara komuniti yang mendapat sambutan amat menggalakkan.
Program ini bukan sahaja menjadi platform rekreasi dan kesihatan, malah memperkukuh semangat komuniti serta menghargai kepentingan landskap awam sebagai ruang interaksi sosial.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















