PROGRAM PENYERAGAMAN KHEMAH DI TAPAK BAZAR RAMADAN HULU SELANGOR
Bukit Sentosa, 20 Februari 2026 - Majlis Perbandaran Hulu Selangor telah melaksanakan Program Penyeragaman Khemah di Tapak Bazar Ramadan Jalan Orkid, Bukit Sentosa. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Bazar Ramadan Cashless hasil kerjasama strategik antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), Agrobank dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Seramai 96 peniaga telah mengambil bahagian dalam program ini dengan pemasangan sebanyak 150 unit khemah seragam di kawasan bazar berkenaan. Pelaksanaan penyeragaman khemah ini bertujuan mewujudkan persekitaran bazar yang lebih tersusun, kemas dan kondusif, sekali gus meningkatkan imej serta standard pengurusan bazar Ramadan di Daerah Hulu Selangor.
Program ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan di seluruh Negeri Selangor sebagai usaha memperkasa ekosistem perniagaan bazar Ramadan melalui pendekatan yang lebih sistematik, moden dan berdaya saing. Selain memastikan keseragaman dan keselesaan pengunjung, ia turut menyokong pelaksanaan transaksi tanpa tunai (cashless) selaras dengan agenda pendigitalan negeri.
Dalam masa yang sama, program ini turut menekankan elemen kelestarian alam sekitar melalui pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna. Peniaga digalakkan untuk mengurangkan pengedaran beg plastik serta menggalakkan penggunaan beg guna semula dalam kalangan pembeli sebagai langkah menyokong inisiatif bazar Ramadan mampan dan mesra alam.
Sambutan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peniaga amat menggalakkan. Program ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada peniaga dan pembeli tentang kepentingan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai yang lebih selamat, cepat dan efisien, malah memupuk budaya perniagaan yang lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.
MPHS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta para peniaga yang memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan inisiatif ini demi kemudahan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian persekitaran setempat.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















