SESI LIBAT URUS JAWATANKUASA PENGURUSAN TAMAN PERUSAHAAN (IPMC) DAN SEKTOR PEMBANGUNAN MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR TAHUN 2026
Kuala Kubu Bharu, 25 September 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pengurusan Taman Perusahaan (IPMC) dan Sektor Pembangunan Tahun 2026 bertempat di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu.
Sesi libat urus ini menjadi platform pertemuan antara MPHS, agensi berkaitan serta pemain industri bagi memperkukuh kerjasama strategik, di samping membincangkan isu, cabaran dan perkara berkaitan pengurusan serta pembangunan sektor perindustrian di Daerah Hulu Selangor.
Program dimulakan dengan ucapan oleh YBhg. Dato’ Kevin Lai Tak Kuan, Pengerusi Bersama IPMC Hulu Selangor, dan seterusnya disempurnakan oleh YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS.
Turut hadir pada program ini ialah Y.A.D. Raja Dato’ Muzaffar bin Raja Redzwa, Orang Besar Daerah Hulu Selangor; YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha MPHS; TPr Gs. Azlina binti Mokhtar, Pengarah Jabatan Perancang Bandar merangkap Pegawai Pelaburan MPHS; YBrs. Puan Hayati binti Kuneh, Ketua Bahagian Pusat Setempat MPHS; Ahli-Ahli Majlis MPHS; pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan di peringkat daerah serta Negeri Selangor; Pengarah-Pengarah Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian MPHS; serta wakil-wakil pemain industri.
Program ini telah menghimpunkan seramai 148 orang peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemain industri, perunding serta warga MPHS.
ANTARA PENGISIAN UTAMA SESI:
- Selangor International Business Summit (SIBS) 2026
Pembentangan oleh Invest Selangor Berhad berkaitan peluang penyertaan, jaringan perniagaan serta potensi pelaburan yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri. - Penyelarasan Pengurusan Sisa Industri, Komersial dan Institusi (ICI)
Pembentangan oleh KDEB ICI Sdn. Bhd. berkaitan Panel Utama bagi menyelaras pengurusan sisa ICI di Daerah Hulu Selangor, dengan fokus kepada pengurusan sisa yang lebih sistematik, teratur dan berkesan. - Talian Paip Gas Asli dan Peluang Kepada Industri Daerah Hulu Selangor
Pembentangan oleh Gas Malaysia Berhad berkaitan kemudahan serta potensi penggunaan gas asli sebagai salah satu sumber sokongan kepada pertumbuhan dan perkembangan sektor perindustrian di Hulu Selangor.
Turut diadakan sesi soal jawab dan perkongsian pandangan yang memberi ruang kepada para peserta untuk mengemukakan isu, cadangan serta pandangan berkaitan perkara yang dibentangkan.
Penganjuran sesi libat urus ini diharapkan dapat terus memperkukuh jaringan kerjasama antara MPHS, agensi kerajaan dan pemain industri, seterusnya menyokong usaha memperkasakan pengurusan taman perusahaan serta pembangunan sektor perindustrian yang maju, terancang dan berdaya saing di Hulu Selangor.
















