KOLABORASI STRATEGIK MPHS & PKDHS DALAM PROGRAM KOZEDES & OPPI BANTERAS DENGGI DI KAMPUNG SERI GERIANG
HULU BERNAM, 7 November 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor (PKDHS) telah menggembleng tenaga mengambil langkah pantas bagi membanteras penularan wabak denggi susulan satu notifikasi kes kematian disebabkan denggi di Kampung Seri Geriang baru-baru ini.
Melalui kerjasama ini, Unit Kawalan Serangga Perosak daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPA) MPHS telah menyerahkan 30 unit bekas BIMOBET. Pihak MPHS bersama-sama penduduk kampung turun padang memasang bekas ini di sekitar perumahan dan kawasan dalam surau. Inisiatif yang diambil oleh pihak MPHS ini bertujuan untuk membantu mengurangkan kes denggi di kawasan wabak selaras dengan slogan program "Perkasa Komuniti, Perangi Aedes" bagi memperkasa komuniti dalam usaha memerangi ancaman nyamuk Aedes.
Penerangan terperinci mengenai fungsi, cara penggunaan, dan kaedah penjagaan bekas BIMOBET telah disampaikan oleh Ketua Unit Kawalan Serangga Perosak MPHS, Puan Nurain Fasehah, bagi memastikan penduduk dapat menyelenggara perangkap tersebut dengan berkesan.
Bagi memantapkan lagi tindakan pencegahan, Unit Vektor PKDHS dan kerjasama wakil penduduk telah menggerakkan Operasi Pemeriksaan Premis Individu (OPPI) dari rumah ke rumah pada 9 November 2026. Persediaan operasi tersebut telah diperkemaskan menerusi sesi taklimat khas yang disampaikan oleh Ketua Unit Vektor PKDHS, Dr. Zafrin bin Jamaludin.
Kolaborasi berterusan antara penduduk setempat, MPHS dan PKDHS ini secara tidak langsung mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik) menerusi pencegahan penyakit dan keselamatan nyawa, serta SDG 17 (Rakan Kerjasama Demi Matlamat) hasil pakatan strategik antara pihak PBT, agensi kesihatan, dan warga setempat.
















