KUNJUNGAN PIHAK KPKT DAN NAHRIM KE MPHS DALAM USAHASAMA TAMBAH BAIK PENGURUSAN SISA DAN AIR LIMBAH
KUALA KUBU BHARU, 8 April 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menerima kunjungan wakil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik berkaitan pengurusan sisa dan air limbah.
Sesi perbincangan melibatkan 2 wakil daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), KPKT, diketuai Puan Siti Noridah binti Ayob, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perunding Kejuruteraan Kesihatan Umum, dan 5 wakil daripada NAHRIM, diketuai Puan Ang Shin Ying, Pegawai Penyelidik NAHRIM.
Antara isu yang dibincangkan ialah pengurusan sisa makanan dan minyak yang semakin membimbangkan, khususnya di kawasan medan selera. Pembuangan sisa ke dalam sistem perparitan bukan sahaja menyumbat longkang dan paip pembetungan, malah berpotensi mencemarkan sumber air dan memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Selain itu, satu lawatan tapak turut dijalankan bagi menilai kesesuaian pelaksanaan projek di Medan Selera Dataran Kuala Kubu Bharu dan Laman Selera Bandar Warisan. Lawatan ini bertujuan melihat keadaan semasa serta potensi lokasi dalam menyokong pelaksanaan projek kitar semula sisa makanan secara lebih efektif dan mampan.
MPHS amat mengalu-alukan kerjasama ini dan komited memperkasakan sistem pengurusan sisa yang lebih cekap, inovatif, dan mesra alam, demi kesejahteraan komuniti Hulu Selangor.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















