MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK SUKAN MALAYSIA (SUKMA) KE-22 BIL. 2/2026
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Bil. 2/2026 bagi membincangkan persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026, khususnya penyelarasan di peringkat Daerah Hulu Selangor sebagai tuan rumah bagi acara bola sepak wanita.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Berusaha Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua (YDP) MPHS, bersama Yang Berusaha Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha MPHS. Sesi pembentangan telah disampaikan oleh Puan Nurulhuda Ahmad binti Khairuddin, Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat, yang merangkumi perkembangan semasa, perancangan pelaksanaan program serta persediaan venue di peringkat daerah.
Kejohanan bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 di Daerah Hulu Selangor dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 23 Ogos 2026.
Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, agensi luar serta jabatan dalaman MPHS. Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (IPD), hospital, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Belia dan Sukan Daerah, Jabatan Penerangan serta lain-lain agensi berkaitan. Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan kelancaran penganjuran serta tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.
Bagi menyemarakkan suasana Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22, pelbagai aktiviti sampingan telah dirancang bermula Mei hingga Ogos 2026, antaranya pertandingan futsal wanita piala YDP, Street Soccer Lelaki Piala YDP , Kejohanan Hoki Piala YDP serta Mini Karnival Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang dijangka dapat meningkatkan penglibatan komuniti setempat.
Selain itu, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 ini turut dijadikan platform untuk mempromosikan produk pelancongan daerah Hulu Selangor yang berteraskan alam semula jadi, rekreasi dan sukan lasak, sekali gus memperkukuhkan imej daerah sebagai destinasi pelancongan yang selamat, menarik dan berdaya saing.
Ayuh bersama-sama kita menyokong dan memeriahkan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 serta meneroka keunikan dan keindahan Hulu Selangor!
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















