MESYUARAT JAWATANKUASA SIASATAN TEMPATAN DAN PENDENGARAN (JKSTP)
DRAF RANCANGAN TEMPATAN DAERAH HULU SELANGOR 2035 (PENGUBAHAN 2)
Kuala Kubu Bharu, 9 April 2026 – Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JKSTP) bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 (Pengubahan 2) telah diadakan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 14(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172].
Mesyuarat ini merupakan susulan kepada Program Publisiti dan Penyertaan Awam yang telah berlangsung dari 3 Februari 2026 hingga 6 Mac 2026, bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk menyemak serta mengemukakan maklum balas terhadap draf tersebut. Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 21 borang maklum balas telah diterima melibatkan 21 pihak berkepentingan.
Mesyuarat JKSTP ini telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Ng Suee Lim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baru. Turut hadir ialah YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Puan Setiausaha MPHS, wakil Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, wakil Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, wakil Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor serta wakil Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.
Hadir sama ialah Ahli Majlis bagi Zon 6, Zon 14, Zon 16, Zon 20 dan Zon 22 bagi mendengar serta meneliti bantahan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak berkepentingan.
#HuluSelangorDaerahMesraPelabur
#HuluSelangorHabPembuatanPengangkutan
















