HULU SELANGOR HALF MARATHON 2026 TARIK HAMPIR 1,500 PELARI DARI 15 NEGARA, RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT
HULU SELANGOR, 7 Jun – Program Hulu Selangor Half Marathon 2026 (HSHM 2026) telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Warisan, Kuala Kubu Bharu dengan penyertaan hampir 1,500 pelari dari 15 buah negara, sekali gus menjadikannya antara acara larian terbesar yang pernah dianjurkan di daerah Hulu Selangor.
Penganjuran acara ini merupakan sebahagian daripada usaha Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) untuk memperkukuhkan kedudukan Hulu Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan yang berpotensi di Negeri Selangor, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.
Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Puan Julaiha Binti Jamaludin, bersama Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, YB Pang Sock Tao dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr. Sathia Prakash Nadarajan yang turut hadir memeriahkan program serta memberikan sokongan kepada para peserta.
Hulu Selangor Half Marathon 2026 menawarkan empat kategori penyertaan iaitu 21 Kilometer (Half Marathon), 12 Kilometer Race, 5 Kilometer Fun Run dan 3 Kilometer Fun Walk yang berjaya menarik penyertaan daripada pelari profesional, atlet amatur, komuniti larian serta keluarga dari dalam dan luar negara.
Acara pelepasan peserta dimulakan seawal jam 5.00 pagi bagi kategori 21 Kilometer, diikuti kategori 12 Kilometer, 5 Kilometer Fun Run dan 3 Kilometer Fun Walk. Para peserta melalui laluan yang menampilkan keindahan landskap semula jadi, kawasan perkampungan, jalan berbukit serta panorama menghijau yang menjadi identiti daerah Hulu Selangor.
Keunikan laluan yang menggabungkan elemen alam semula jadi dan cabaran fizikal menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai antara lokasi yang sesuai untuk penganjuran acara larian bertaraf besar. Faktor ini turut memberi pengalaman berbeza kepada para peserta berbanding acara larian yang lazimnya diadakan di kawasan bandar.
Penganjuran HSHM 2026 berjaya menarik hampir 1,500 penyertaan dari 15 buah negara, sekali gus membuktikan kemampuan Hulu Selangor untuk menjadi tuan rumah kepada acara larian bertaraf antarabangsa. Kehadiran peserta dari dalam dan luar negara bersama ahli keluarga, penyokong serta pengunjung telah menjadikan Kuala Kubu Bharu lebih meriah sepanjang penganjuran program berlangsung.
Dianggarkan hampir 3,000 pengunjung berada di sekitar Kuala Kubu Bharu sepanjang acara berlangsung. Kehadiran peserta antarabangsa, pelari tempatan serta para penyokong telah memberikan impak positif kepada sosioekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti perniagaan melibatkan sektor penginapan, makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan pelancongan tempatan.
Program ini secara tidak langsung turut mempromosikan Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti riadah dan sukan, khususnya sukan larian yang menawarkan gabungan laluan menarik, pemandangan alam semula jadi yang indah serta tahap cabaran yang sesuai untuk pelari pelbagai kategori. Keunikan ini menjadikan Hulu Selangor semakin dikenali dalam kalangan komuniti larian tempatan dan antarabangsa.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan, penaja dan rakan strategik yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Hulu Selangor Half Marathon 2026. Diharapkan acara ini akan terus berkembang sebagai acara larian berprestij yang mampu mengangkat nama Hulu Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan, rekreasi dan alam semula jadi yang unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















